Khamis, 7 September 2017

Seorang Muslimah itu...

Yang lembut itu fitrah tercipta, 
halus kulit manis tuturnya, 
lentur hati tulus wajahnya, 
setulus rasa membisik di jiwa, 
di matanya cahaya, dalamnya ada air, sehangat cinta, sejernih suka, sedalam duka, ceritera hidupnya.



Seorang Muslimah itu...
Hatinya penuh manja, 
penuh cinta, 
sayang semuanya, 
cinta untuk diberi untuk dirasa,
namun manjanya bukan untuk semua, 
bukan lemah atau kelemahan dunia,
dia boleh kuat, boleh menjadi tabah, boleh ampuh menyokong pahlawan-pahlawan dunia,
begitu unik tercipta.


Seorang Muslimah itu...
Teman yang setia, 
buat Adam dialah Hawa, 
tetap di sini dari indahnya jannah hatta ke medan dunia, 
hingga kembali mengecap nikmatNya.


Seorang Muslimah itu...
Boleh seteguh Khadijah, 
yang suci hatinya dan tabah,
tenang sikapnya, bijaksana, menyimpan i­lmu, si teman bicara, dialah Ãishah, penyeri taman Rasulullah, 
dialah Hafsah, 
penyimpan mashaf pertama kalamullah.


Seorang Muslimah itu...
Boleh setabah Maryam, 
meski dicaci meski dikeji, 
itu hanya cercaan manusia, namun sucinya ALLah memuji,
seperti Fatimah kudusnya, 
meniti hidup seadanya, 
puteri Rasulullah kesayangan ayahanda, 
suaminya si panglima agama, 
di belakangnya dialah pelita, 
cahaya penerang segenap rumahnya, 
ummi tersayang cucunda Baginda.


Seorang Muslimah itu...
Perlu ada yang membela, 
agar mereka terdidik jiwa, 
agar mereka terpelihara, 
dengan mengenali Rabbnya, 
dengan cinta Rasulnya,
dengan yakin Deennya, 
dengan teguh aqidahnya, 
dengan utuh cinta yang terutama, 
Allah jua RasulNya, 
dalam ketaatan penuh setia,
pemelihara maruah dirinya, agama, keluarga & ummahnya.


Seorang Muslimah itu...
Melenturnya perlu kasih sayang, 
membentuknya perlu kebijaksanaan, 
kesabaran dan kemaafan, 
keyakinan dan penghargaan, 
tanpa jemu dan tanpa bosan, memimpin tangan, menunjuk jalan.


Seorang Muslimah itu...
Yang hidup di alaf ini, 
gadis akhir zaman, 
era hidup perlu berdikari.


Dirinya terancam dek fitnah, 
sucinya perlu tabah, 
cintanya tak boleh berubah, 
tak boleh terpadam dek helah,

dek keliru fikir jiwanya, 
kerana dihambur ucapkata nista, 
hanya kerana dunia memperdaya,
kerana seorang gadis itu, yang hidup di zaman ini perlu teguh kakinya, mantap iman mengunci jiwanya, 
dari lemah dan kalah dalam pertarungan yang lama,
dari rebah dan salah dalam perjalanan mengenali Tuhannya, 
dalam perjuangan menggapai cinta, 
nikmat hakiki seorang hamba, 
dari Tuhan yang menciptakan, 
dari Tuhan yang mengurniakan seorang gadis itu anugerah istimewa kepada dunia!











~Catatan ini milik Khaleel-el-Wafy~

Tiada ulasan: