Puisi ABDI YANG ABADI
Merenung ke laut Allah
Birunya mendamaikan
Luas tidak bertepi
Terhampar
Lapang
Mendongak ke langit Allah
Putihnya awan mengasyikkan
Terhias bagai lukisan
Cantik
Menawan
Disentuh bayu Allah
Dingin menyegarkan
Berpuput lembut
Meliuk
Melentuk
Berpijak di bumi Allah
Akulah menumpang
Dalam sedikit ruang
Selesa
Sederhana
Meraba di malam Allah
Ditemani bulan
Berkelilingkan bintang
Gemerlap
Indah
Berlari di siang Allah
Mewah mentari
Cahaya berseri
Terang
Terik
Menundukkan hati
Sihamba hina sedar
Kerdilnya diri
Dilafazkannya syukur
Atas limpah nikmat
Dan balaskanlah
Dengan ketaatan
Berpusatkan ingatan
Bahawa DIA MAHA BESAR
Pena : Riza Saffiya
~~~
Puisi PALESTIN! KAMU DISAYANGI
Darah merah mengalir lagi
Memercik
Menyimbah
Seluruh buminya suram
Dentuman
Jeritan
Tangisan
Bukan luar biasa lagi
Sana sini terbujur
Kejang
Terbiar
Hanyir darah tidak ada
Hanya keharuman menanti mereka
Kekuatan mereka
Pengajaran buat kita
Ketabahan mereka
Pedoman buat kita
Ramai yang dijemput Tuhan
Bukan bererti kekalahan
Tidak bermakna perlu berundur
Ramai yang masih utuh
Tegap dalam medan
Biar bom dilontar musuhnya
Dibalas dengan zikir dan doa
Mereka percaya
Allah memelihara
Selagi tidak dilupa
DIA yang selalu ada
Pena : Riza Saffiya
~~~
Puisi NOKTAH HATI
Kotak hati lara
Memercik darah luka
Membengkak urat dipenuhi angin hiba
Sakitnya
Setiap penjuru
Bagaikan ada penghulu
Mengawal sendu
Menangkap pilu
Dirantaikannya dengan sembilu
Kekal selamat tanpa berganjak di situ
Kotak hati terasa sempit
Bergegar menahan perit
Ubat mujarab tidak lagi melekit
Yang tinggal keruhnya seperti air parit
Hanyir walau hanya terpalit
Di sini kotak hati berjanji
Getarnya walau lesu tidak akan terhenti
Degupnya masih teliti
Alir merah duka tetap suci
Cecair iman yang setia mengawasi
Agar ketul maksiat tercampak pergi
Jauh tidak terlihat lagi
Biarlah sepi
Biarlah sendiri
Tegapnya kotak hati
Bersama fikiran mengimbangkan diri
Pena : Riza Saffiya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan